Tuesday 27 November 2012

DALAM SINARAN BULAN PURNAMA (KISAH AHLI PAS SEUMUR HIDUP)

Saya menyertai Pas awal 1985 ketika masih berkhidmat sebagai seorang guru. Walaupun belum lagi aktif, tetapi mula mengenali agak rapat dengan pimpinan Pas Kedah ketika itu, kerana saya berusaha menubuhkan badan penyokong Pas terdiri dari penjawat awam yang dikenali sebagai JPPP @ J3P (Jawatankuasa Pegawai Penyokong Pas). Saya adalah setiausahanya. Bila menyertai Pas, saya mulai membiasakan diri dengan memakai serban, seperti kebanyakan ahli-ahli Pas yang lain. Ramai di kalangan guru-guru yang cenderung pada Pas memakai serban. Pengetua dan PPD tak dapat buat apa-apa, sekadar keluar pekeliling etika berpakaian bagi guru.

Boleh kata, suara kami guru-guru yang sokong Pas didengari. Apa sahaja ko-kurikulum yang tidak sesuai dengan syariat, kami tentang atau boikot. Aktiviti sukan juga kami yang meletakkan garis panduan latihan. Pelajar lelaki dengan perempuan tak boleh bercampur dalam apa-apa latihan dan pelajar perempuan wajib menutup aurat. Kami juga berjaya membentuk usrah di kalangan pelajar. Pelajar dan waris secara jelas mengetahui kami dari parti mana. Bercakap tentang Pas dan Umno dalam kelas dan bilik guru telah lumrah bagi kami.

Pada tahun 1986 saya terpilih menjadi Ketua Pemuda dalam mesyuarat agung Pemuda Pas Kawasan Padang Terap. Sejak itulah saya benar-benar menumpukan perhatian kepada aktiviti Pas. Seluruh kehidupan saya berada dalam sinaran Bulan Purnama. Terlibat secara serius apa juga program anjuran sama ada dari Pas kawasan, negeri mahupun pusat.

Semangat pengorbanan terhadap parti dipupuk semahu-mahunya. Saya sanggup meninggalkan tugas untuk menghadiri program parti. Kerjaya sudah menjadi nombor dua dalam hidup masa itu. Semangat ini semakin berkobar-kobar lagi bila berlakunya peristiwa rampasan tanah milik Pas Kedah di Batu 14, Pokok Sena pada awal 1987 oleh Kerajaan Negeri Kedah yang ketika itu MBnya Datuk Paduka Osman Arof. Setelah berkali-kali rundingan antara kedua pihak tidak berhasil, maka Pas bertegas mempertahan tanah tersebut.
Sistem kawalan sepanjang masa yang melibatkan kawasan-kawasan seluruh Kedah di atur. Ahli-ahli Pas yang berdekatan telah jadikan muasasah itu sebagai rumahtangga mereka. Setengahnya berpesan pada isteri yang mereka turun dari rumah dengan niat untuk mati syahid di muasasah itu. Dewan Pemuda Pas kawasan Padang Terap ditugaskan menjaga keselamatan kerana tapak muasasah berada dalam kawasan parlimen Padang Terap (sekarang di bawah kawasan parlimen Pokok Sena). Selaku Ketua Pemuda kawasan, saya dilantik sebagai ketua keselamatan Muasasah, termasuk keselamatan pimpinan yang hadir di situ.

6 Ogos 1988, saya ambil keputusan berhenti mengajar tanpa maklum pada jabatan pendidikan hingga sekarang. Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan ketika itu. Bila isteri merungut, saya katakan yang saya terpaksa berkorban untuk parti yang berjuang kerana Islam. Saya katakan juga kalau tidak kita, siapa lagi yang akan berjuang menegakkan hukum Allah. Keputusan saya adalah muktamad.
Sepanjang bersama Pas, saya telah melalui beberapa proses pembinaan jati diri ahli. Ketika itu penekanannya menjurus kepada kekuatan akidah. Sesuai dengan itu, terbentuklah tema-tema pada muktamar Pas seperti ‘Menggempur Pemikiran Assobiyyah’, ‘Meroboh Rangkaian Penindas’ dan ‘Bertindak Menentang Kezaliman’. Apa juga program ke arah motivasi dan ceramah ketika itu, menghuraikan sedalam-dalamnya maksud assobiyyah, taghut, munafik dan juga kezaliman. Ayat-ayat Quran dan hadis yang di ketengahkan juga semuanya berkait rapat dengan isu itu.

Pimpinan Pas masa itu mahu ahlinya benar-benar bersih akidah. Bukan sahaja membuang fikiran assobiyyah dan sekularisme, malah juga membuang fitrah pertubuhan Islam lain seperti Abim, Al-Arqam, Tabligh, Jim, Hamim, Berjasa dan lain-lain yang tak sehaluan dengan Pas. Pas benar-benar bersendirian dalam arena dakwah dan berpolitik. Pas langsung tidak dapat menerima DAP waktu itu. Seperti kunyit dengan kapur atau kucing dengan anjing.

Ketegasan Pas ini menyebabkan beberapa isu kontroversi berlaku antara Umno dan Pas. Masyarakat ketika itu dengan mudah dapat membezakan antara orang Pas dan Umno. Pimpinan dan ahli Pas seolah-olah mewajibkan diri untuk memakai serban. Paling kurang pun kupiah putih. Begitu juga dengan janggut, yang ada seurat dua pun simpan juga, jangan nak cari yang berdagu licin. Kebanyakan pula memilih serban warna hitam dan merah. Lambang peperangan dan keberanian.

Sewaktu menjadi perwakilan Pas Kawasan Padang Terap dalam muktamar tahun 1987, saya mengenakan pakaian serba hitam sepanjang 3 hari bersidang. Dari serban hingga ke kasut semuanya hitam. Sementara semua perwakilan Dewan Pemuda Pas Terengganu pula, mengenakan serban Palestin warna merah yang di ketuai Ustaz Abu Bakar Abdullah. Majoriti perwakilan dan pimpinan Pas berserban, tak seorang pun yang berani memakai kupiah hitam, apa lagi tanpa kupiah.

Perbahasan para perwakilan pula sungguh bersemangat, pernah berlaku mesyuarat berlangsung hingga jam 2 pagi. Waktu itu sedang panas dengan isu kristianisasi. Usul ini dibahas dengan penuh panjang lebar. Pembahas utama adalah Mohamad Sabu yang berlawan hujah dengan Khalid Samad. Kedua-duanya mempunyai penyokong yang sangat hebat berhujah. Waktu itu, hal-hal berkaitan akidah, amat sensitif bagi pemuda Pas. Sanggup mati bila-bila masa. Perkataan jihad dan syahid meniti setiap bibir perwakilan yang berbahas. Menghentam Umno dan media yang pro pemerintah sudah lumrah. Setiap muktamar ada sahaja usul boikot media pro pemerintah.

Pimpinan Pas atau ahli sama sekali tidak akan berani memakai baju batik, baju berlengan pendek hatta kot sekali pun. Ada tok guru dan ustaz yang memberi fatwa, memakai tali leher boleh rosak akidah, kerana simpulan bahagian atasnya berbentuk salib. Topi keledar dianggap haram, kerana menyamai orang kafir. Banyak jugalah kes saman hingga bawa ke mahkamah berkaitan isu topi keledar ini.
Tidak keterlaluanlah kalau dikatakan waktu itu, masing-masing sanggup berkorban apa sahaja demi kawan atau istilahnya ‘orang kita’. Lingkungan orang kita ini hanyalah terdiri dari ahli Pas. Walaupun ahli keluarga, tetapi masih Umno tidak diiktiraf sebagai orang kita. Lebih dahsyat lagi hingga ada yang memutuskan hubungan keluarga. Pendirian ini diambil sebenarnya bukanlah mengikut nafsu, tetapi ada dalil-dalil yang disampaikan oleh pimpinan Pas.

Selalu ditekankan oleh penceramah dan tok guru Pas, antaranya tentang hukum kafir kepada pemerintah yang tidak melaksanakan perundangan Islam, sebaliknya mengamalkan undang-undang ‘Lord Reid’. Begitu juga dengan mengambil atau memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin. Juga haram di sisi Islam. Antara ayat yang di jadikan dalil adalah, Surah al-Nisa’ ayat 144,
‘Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu’.

Surah al-Maidah ayat 44,
‘Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah di turunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang yang kafir’.
Surah at-Taubah awal ayat 29,
‘Perangilah orang yang tidak beriman pada Allah dan tidak beriman pada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang di haramkan oleh Allah dan RasulNya.’
Demikian juga dengan kepimpinan Islam. Pas mempertikaikan apabila Umno meletakkan calon wanita dalam pilihanraya. Hadis Imam Bukhari dijadikan dalil,
‘Tidak akan berjaya sesuatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada kaum wanita.’

Selain dari Umno, pihak polis juga menjadi sasaran kebencian ahli Pas. Sebab itu, kalau ada program ceramah Pas dan ada pula sekatan polis, lebih ramailah yang datang. Dengan niat ingin bertembung dengan pihak polis yang setengahnya menganggap anggota polis ini sebagai ‘talibarut atau anjing kerajaan BN/Umno’. Menanam rasa benci ahli Pas dengan sistem kehakiman negara juga sudah lumrah ketika itu. Apa juga keputusan hakim yang tidak memihak pada mereka, akan dikecam Umno sebagai dalang

Monday 26 November 2012

PAHIT ITU PENAWAR


Salam selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Insan pilihan sebagai kekasih Allah. Semoga dirahmati baginda dan ahli keluarga serta sahabat baginda.

Penghujung Disember 2011 Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah melahirkan dukacita kerana masih wujudnya isu dua imam di negeri baginda. Rungutan itu telah menarik perhatian MB Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said yang menyalahkan Pas dalam isu tersebut. Ketua Ulama Pas Pusat, Ustaz Harun Taib memberi komen bahawa isu dua imam dan kafir mengkafir itu telah lama Pas tinggal. Maksudnya memang Pas pernah pelopori isu tersebut.

Generasi remaja hari ini pasti tidak sedar apa sebenarnya berlaku di sebalik isu yang disentuh oleh Sultan Terengganu. Justeru itu, saya rasa terpanggil untuk memaparkan kisah sebenar di sebalik isu tersebut. Pendedahan ini bukan untuk mencari populariti, membuat fitnah, menjatuhkan imej mana-mana pihak atau pun mencemarkan ulama dalam parti Pas. Semua ini semata-mata untuk bahan renungan bersama demi menyelamatkan agama, negara dan bangsa. Juga sebagai satu panduan dalam memecahkan minda masyarakat yang inginkan kebenaran, keadilan dan kesejahteraan sebelum membuat keputusan dalam PRU 13 ini.

Berfaktakan pengalaman, juga contoh-contoh isu semasa yang akan didedahkan kelak, diharapkan pembaca dapat menerimanya sebagai satu pandangan buat perbincangan. Saya tidak memaksa untuk pembaca menerima apa yang saya dedahkan. Jika ianya kebetulan benar, sama-sama kita ambil manfaat. Jika terbukti saya membuat kesilapan, moga sedia ada yang membetulkannya. Saya mewakafkan diri untuk mencari titik kebenaran dan perpaduan ummah. Biarlah kita sama-sama seiring bersama orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah.

Sesuai dengan apa yang saban hari kita membaca dan berdoa kepada Allah pada akhir surah Fatihah,
‘Bimbinglah kami ke jalan yang lurus. Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang dimurkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat.’

Pendedahan tentang keresahan ini sebenarnya mewakili ribuan lagi ahli-ahli Pas yang kurang senang dengan perkembangan politik tanah air sekarang. Ribuan ahli Pas sedang bingung dengan perubahan sikap pimpinan mereka. Bagaimanapun, ada sesuatu yang menghalang mereka dari membuat teguran. Majoriti ahli Pas berpegang kepada daripada mendatangkan mudarat yang besar, biarlah kekal mudarat yang kecil. Oleh itu diam, tutup mulut. Kalau bising-bising dekat luar, jadilah nasib seperti Dato’ Dr. Hasan Ali yang dihumban keluar dari tingkap Pas.

Kita tidak tahu, entah berapa tahun Dato’ Dr. Hasan Ali bergelut dengan masalah ini semasa berada dalam Pas. Agaknya telah habis usaha beliau, tidak ada pilihan lagi selain bertindak seperti apa yang telah berlaku. Mungkin dalam isu ini ada hikmahnya untuk ummah. Sekurang-kurangnya masyarakat dapat tahu bahawa di bawah air yang tenang dalam kolam Pas itu sebenarnya ada buaya, ada parasit. Semuanya makhluk perosak. Bukan sahaja pada Pas, malah pada Islam itu sendiri.

Apabila saya membuat report polis berhubung penyelewengan Tabung Mangsa Memali, ramai orang-orang Pas menyerang saya. Kononnya saya cuba menjatuhkan maruah parti, sedangkan isu itu boleh selesai cara dalaman. Itu komen mereka, pada hal mereka ini tidak tahu, betapa saya telah cuba selesaikan isu ini secara jemaah. Bermula dari kawasan, negeri dan pusat. Bertahun masa yang saya ambil, tetapi yang menjadi dalangnya seorang yang berkuasa di kawasan, negeri dan sangat rapat dengan pimpinan pusat, terutama presiden ketika itu. Akibatnya saya dipecat dari Pas.

Dengan terbitnya buku ini, rasanya sekali lagi saya akan diserang oleh pimpinan dan ahli Pas. Pasti saya dituduh kurang ajar terhadap ulama, lawan ulama dan cuba merosakkan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Suka saya tegaskan, menentang ulama sebagai pewaris nabi, bukan cita-cita saya. Hanya sekadar mengingatkan dan menegur kepincangan yang ada. Berdosa seorang makmum yang tidak menegur imam yang batal solatnya kerana terdapat najis cicak di tapak kaki imam itu. Najis itu terlalu kecil dan berada di bawah telapak kaki, tentunya si imam tidak sedar yang dirinya bernajis. Menjadi tugas makmum yang melihat najis itu membuat teguran.

Saya menulis ini bukan atas platform mana-mana parti, tetapi atas platform Islam. Maka harapan saya, agar Allah menerima ini sebagai satu ganjaran baik untuk semua pihak. Inilah sahaja satu cara yang masih ada bagi saya untuk sama-sama mengajak pembaca dalam membuka minda dalam mengutamakan Islam, bukan pimpinan. Kita semua tahu, Rasulullah pernah menyebut, jika anaknya Fatimah melakukan jenayah, tetap dihukumnya walaupun Fatimah itu puteri kesayangan baginda. Peringatan-peringatan begini sering disebut oleh ulama Pas dalam kuliah mereka sebelum ini dalam usaha memantapkan akidah ahli.

Saya sedar teguran atau pandangan ini, agak berat untuk diterima oleh ahli Pas. Saya juga sedar tindakan ini amat mencabar, terlalu amat pahit tetapi terpaksa juga ditelan kerana di situ tersembunyi penawar yang mujarab.

Kafirkah Aku?


Nama sebenar Zainon bin Ismail. Berhenti sebagai guru semata – mata untuk membantu perjuangan Pas. Pernah berjuang bersama dengan Mujahidin di bumi Afghanistan sekitar tahun 1988. Merupakan ahli Pas seumur hidup dan pernah menjadi exco Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah dari 1991 hingga 1997. 

Sangat taksub dengan Amanat Hj Hadi hingga sanggup kafirkan saudara kandung. Tahun 2001 hingga 2006 di tahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan mengetuai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM). 

Pengalaman sebagai bekas wartawan Harakah, banyak menulis buku – buku politik. Bukunya bertajuk Air Mata Di Bumi Memali keluaran November 2010, menimbulkan kontroversi hingga diharamkan jualan kepada ahli Pas. 

Beliau terpaksa membuat repot polis kerana diugut sebab mendedahkan isu penyelewengan Tabung Mangsa Memali. Iaitu tabung yang ditubuhkan oleh Pas untuk membantu anak yatim dan balu mensa Memali. Buku Kafirkah AKu? Ini adalah buku ke 20 beliau yang dijangka akan mengundang satu lagi kontroversi di kalangan pimpinan dan ahli Pas.